,

Siri Aesthete – Cara menghayati seni catan


Want create site? Find Free WordPress Themes and plugins.

Seni catan merupakan hasil karya yang dihasilkan di atas benda yang rata seperti kanvas atau kertas dan menggunakan pelbagai medium seperti warna air, minyak, akrilik, gam, crayon dan lain-lain. Agak sukar untuk melihat anak-anak muda berpeleseran di galeri-galeri seni, mungkin tidak begitu dipupuk minatnya berbanding cabang seni lain seperti muzik dan filem. Anda juga mungkin memandang sinis kawan anda yang mengajak anda ke galeri seni lukis. Atau anda akan rasa cemas atau perlu berpura-pura ketika di galeri supaya tidak kelihatan bodoh terkebil-kebil di hadapan sebuah lukisan gajah bersayap yang berwarna-warni.

Di sini, biar kami tunjukkan cara yang asas untuk anda bermula supaya lebih memahami bagaimana untuk menghadam sesebuah karya catan ketika berada di galeri seni.

1. Melihat tajuk dan keterangan lukisan
Cara paling mudah untuk anda mulakan ialah dengan membaca keterangan dan tajuk lukisan yang selalunya ditulis di atas kad yang diletakkan berhampiran lukisan. Seorang pelukis agak menitikberatkan tajuk sesebuah lukisan supaya berkait dengan karya dan maksud yang cuba disampaikan. Mungkin tajuknya tidak selalu straight forward tetapi sekurang-kurangnya membantu anda untuk memahami dan berempati dengan sesebuah karya. Ambil risalah yang ada di pintu masuk kerana kebanyakannya mempunyai keterangan ringkas tentang sesebuah lukisan serta sejarahnya. Lebih afdal jika kebetulan pelukisnya ada di galeri, anda boleh menegurnya dan berbincang tentang hasil karya yang dihasilkannya.

title card

Jika ada lukisan yang tidak bertajuk (untitled) atau terlalu bersifat peribadi, anda mungkin belum bersedia lagi untuk memahami lukisan itu dan segeralah beralih ke lukisan sebelah.

Atau cuba teknik seterusnya di bawah.

2. Reaksi melihat sebuah lukisan
Apabila berada di hadapan lukisan, cuba beri perhatian kepada apa yang anda rasa apabila melihatnya. Ya, kedengaran agak poyo. Tetapi itulah cara yang terbaik untuk anda menikmati sesebuah karya. Elakkan dengan jawapan senang “tak rasa apa-apa pun” atau sekadar “cantik”. Fokus dengan apa yang anda rasa.

getty

Ambil contoh anda tenung lama-lama wajah seorang lelaki atau perempuan, pasti akan ada rasa cinta, benci, jelek, tidak selesa atau bernafsu terhadap orang itu. Konsep yang sama dilakukan di sini ke atas sebuah karya lukisan. Konsep ini sesuai dilakukan ke atas lukisan abstrak yang memerlukan deria keenam untuk dihayati dan difahami. Tidak perlu menghakimi sesebuah lukisan samada baik atau buruk, hanya perlu fokus terhadap rasa yang timbul dan jawab persoalan yang timbul daripada minda mengenai lukisan tersebut. Cuba relate juga dengan pengalaman hidup anda supaya anda berasa lebih intim dengan karya tersebut. Aktiviti ini sekaligus dapat melatih anda untuk melihat kehidupan di luar sana dengan pandangan yang berbeza dan unik.

3. Kenali pelukis/artis

tema gitar
Kebanyakan artis pasti ada identiti pada hasil karya mereka. Identiti yang dimaksudkan adalah seperti objek, teknik lukisan, tema dan lain-lain yang sentiasa cuba ditonjolkan pada setiap karya mereka. Cuba ikuti hasil karya seseorang artis, dimulai dengan artis yang sudah ternama terutama sekali artis tempatan. Ketahui bila dan apa yang berlaku ketika sesebuah karya itu dihasilkan oleh mereka. Daripada situ anda boleh faham dengan senang setiap karya-karya mereka atau jika ada karya yang terbaru dihasilkan oleh mereka.

Artis seperti Arwah Ibrahim Hussein dengan abstrak tubuh manusia, serta Arwah Syed Ahmad Syed Jamal beridentitikan abstrak yang lebih realis dan penuh ekspresi, merupakan contoh artis catan yang dianggap legenda tanah air. Anda juga boleh mengikuti artis generasi sekarang seperti Adeputra Masri (satira dengan lukisan berbentuk wayang kulit), Yusof Gajah (menggunakan gajah sebagai objek lukisan), Latif Maulan (seni realistik), Shah Rizal Shuib (gitar sebagai objek), Ajim Juxta(detailed sketch) dan lain-lain.

ibra
Tahukah anda: Lukisan bertajuk ‘The Dream’ karya Ibrahim Hussein ini pernah menjadi lukisan termahal pernah dijual di Malaysia.

Dengan teknologi internet yang canggih sekarang, ramai pelukis sudah mula meletakkan profil serta gambar lukisan mereka di laman sosial seperti Instagram, Facebook, tumblr dan lain-lain. Cuba follow atau add mereka untuk mengetahui aktiviti, melihat lukisan yang masih dalam proses, serta mengetahui pameran yang bakal mereka sertai.

Juga anda boleh cuba nasib mengikuti perkembangan artis yang sedang meningkat naik dan sokong karya-karya mereka dengan mengunjungi setiap pameran yang mereka turut serta atau beli satu karya mereka. Mana tahu, suatu hari nanti artis yang anda ikuti daripada mula akan menjadi nama besar, lukisan awal yang anda beli itu boleh dijual dengan harga tinggi!

4. Cuba melukis/belajar teori teknik melukis

Lukisan abstrak selalu dikritik oleh orang ramai sebagai lukisan conteng dan mudah untuk dihasilkan (senang buat duit). Tetapi jika anda belajar tentang seni lukisan, penghasilan lukisan abstrak memerlukan ilmu dan skil yang tinggi juga. Kerana itulah ilmu dalam seni lukis agak membantu untuk lebih mendalami sesebuah karya itu. Cara yang mudah untuk belajar, adalah cuba sendiri untuk melukis atau nak lebih senang, tonton tutorial Youtube mengenai penghasilan sesebuah lukisan. Selepas ini, anda boleh tahu tahap kesukaran dan teknik yang diperlukan untuk sesebuah lukisan itu dihasilkan. Jadi, anda boleh mula faham kenapa lukisan itu nampak cantik serta kenapa harga yang ditetapkan agak tinggi. Salah satunya mungkin kerana penghasilannya sangat kompleks.

Cubalah melukis, silap haribulan lukisan anda pula yang masuk galeri nanti.

5. Sedap mata memandang
Kalau anda letih nak buat semua yang dicadangkan di atas, cukuplah sekadar menghayati lukisan tersebut melalui kecantikannya di mata anda. Anda bolehlah melihat lukisan pemandangan, pop-art, serta lukisan potret yang lebih moden dan straight forward. Ataupun anda boleh melihat lukisan sambil membayangkan ia digantung di dinding ruang tamu rumah anda. Yang penting, anda masih mampu meminati dan menghargai lukisan. Seni kan ‘subjektif’ (atau tidak?).

Karya Latif Maulan
Salah satu karya Latif Maulan

Sebagai tambahan, kalau boleh anda pergilah ke galeri lukisan dengan rakan yang ada minat yang sama atau pergi je sorang-sorang. Kerana jikalau anda pergi dengan rakan yang tak minat/tak mahu minat seni, boleh bikin stress jugak.
Cadangan di atas adalah melalui pengalaman dan pendapat kami sahaja jika anda baru mula berjinak-jinak dengan seni lukis. Untuk mengetahui mengenai pemahaman karya seni lukis dengan lebih mendalam, anda bolehlah membuat lebih carian di internet ataupun masuk Kursus Seni Halus di universiti-universiti tempatan. Jadi, selepas ini bolehlah anda mula melangkah masuk ke galeri-galeri seni lukis dan bermulalah hidup anda sebagai seorang pencinta seni!

Senarai beberapa galeri seni sekitar Lembah Kelang:

Galeri Petronas, KLCC

Pelita Hati, Bangsar

Galeri Shah Alam

Artemis Art Gallery, Publika

Credit image: Shah Rizal FB , Latif Maulan Flickr, Henry Butcher.

Did you find apk for android? You can find new Free Android Games and apps.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *