, ,

Siri Aesthete – Melangkah ke dunia puisi


Want create site? Find Free WordPress Themes and plugins.

Memandangkan demam Ada Apa Dengan Cinta menular semula anak-anak muda (dan yang pernah muda) di Malaysia, eloklah kiranya siri ini diteruskan dengan satu lagi cabang seni yang indah ini, iaitu bagaimana menghayati sajak atau puisi.

Di sekolah, anda mungkin telah mempelajari cara memahami sesuatu sajak itu secara lebih bersistematik, tetapi, entah di mana silapnya, mungkin kerana kesistematikan itu membuatkan anda tidak langsung berminat untuk lebih meminati seni dalam puisi ini.

Anda mungkin boleh cuba tips yang akan kami berikan ini tetapi perlu diingatkan, senarai ini hanyalah asas dan sesuai untuk anda yang baru nak mencuba mendekati sajak.

1. Mula dengan puisi mudah
Jika anda tidak pasti di mana hendak bermula, anda boleh cuba cari puisi yang kurang lebih straight forward mesejnya serta tema yang lebih ringan. Sesetengah buku-buku puisi indie dan ditulis oleh penulis baru mungkin sesuai untuk yang baru hendak berjinak-jinak dengan dunia puisi. Tema cinta moden dan sinis yang lebih komikal selalu digunakan, serta ayat-ayat yang lebih santai serta sedap dibaca pasti menarik perhatian anda untuk terus mencari puisi-puisi lain. Jangan terus rangkul buku puisi tulisan penyajak yang sudah otai. Pelan-pelan kayuh.

Contoh puisi yang agak ringkas dipetik daripada buku himpunan puisi Sofa Biru karya Nadhira Brundage:-

Tajuk: Kalaupun

Kalaupun
Aku tahu
Kau bukan
Realitiku

Tetap aku berhias
Berwangi
Berharap kau
Menjengah mimpi

Faham tak? Fahamkan.

 

2. Baca dengan kuat

poetry1

Maksudnya, deklamasikan atau lafazkan puisi, bukan baca dalam hati juga bukan baca jerit kuat-kuat. Cuba sampaikan secara verbal sajak yang anda mahu baca. Anda boleh baca seperti penyajak yang bertanding dalam Sayembara Kemerdekaan, atau gaya cool macam penyajak indie, juga kalau mahu baca seperti Cinta dalam AADC juga boleh.

Secara asasnya, anda sedang berhibur dengan mendengar suara anda membaca sajak itu, seperti mendengar sebuah nyanyian. Langkah ini juga permulaan untuk anda membiasakan diri dengan sajak yang dideklamasikan serta membantu untuk anda memahami maksud sajak tersebut kerana kadang-kadang bila dibaca dengan kuat akan lebih senang difahami.

Kemudian, baca puisi tersebut berkali-kali. Sudah pasti pemahaman anda akan bertambah lebih daripada bacaan pertama hingga akhirnya anda dapat buat kesimpulan sendiri terhadap sesuatu puisi itu.

3. Kenali penulis puisi

Buat sedikit kajian penulis puisi yang sudah terkenal seperti Chairil Anwar, Usman Awang, Zurinah Hassan, A. Samad Said dan lain-lain. Kemudian cari sajak-sajak awal mereka yang mungkin lebih mudah untuk difahami. Kemudian, buat kajian lagi tentang di mana dan apa yang berlaku ketika sajak itu ditulis.

Contoh seperti puisi Chairil Anwar bertajuk ‘Krawang-Bekasi’ yang ditulis pada 1948 ketika Indonesia dalam pergeseran politik, serta puisi ‘Beli Buatan Malaysia’ karya Usman Awang yang ditulis pada tahun 1984 ketika Malaysia sedang dalam zaman kempen Buy British Last Policy serta penubuhan Proton; mengetahui sejarah dan kisah di sebalik puisi ini pasti membantu anda untuk lebih menghargai dan menghayati sesebuah puisi itu.

4. Tonton filem yang mengangkat puisi

Dead-Poets-Society-01

Ada Apa Dengan Cinta berjaya mengajak khalayak muda Nusantara untuk mendekati puisi sekitar tahun 2002. Filem ini berjaya menjadikan puisi sesuatu yang cool dan bukan hanya dibacakan ketika sambutan kemerdekaan, malah membuatkan golongan muda mula belajar menulis puisi. Di dalam cerita itu juga memperkenalkan nama penyajak yang terkenal di Indonesia iaitu Chairil Anwar, membuatkan karyanya laris dijual.

Jadi melalui filem yang mengetengahkan puisi, anda boleh belajar bagaimana puisi dapat dijadikan medium meluahkan rasa serta dijadikan sebahagian daripada kehidupan seharian. Puisi diangkat sebagai penggerak cerita dan anda boleh faham bagaimana puisi ditulis mengikut keadaan dan suasana sekeliling yang berlaku ketika itu.

Filem lain yang anda boleh tonton ialah seperti 10 things I hate about you, Dead Poets Society, Kembara Seniman Jalanan dan lain-lain. Oh ya, komik Mat Som karya Datuk Lat juga menyelitkan puisi di dalam cerita. Mungkin anda boleh cuba membacanya.

5. Pergi ke acara puisi

Sejak tahun kebelakangan ini, terdapat banyak acara bacaan puisi diadakan dengan menampilkan penyajak baru dan lama. Selain daripada menyaksikan sendiri bacaan puisi oleh mereka yang lebih pakar, anda juga boleh bergaul dengan peminat puisi yang lain. Dari situ, anda bolehlah berdiskusi dan bertukar pandangan dengan lebih lagi sekaligus menambah pengetahuan anda tentang puisi. Jangan risau, mereka semua cool orangnya. Acara yang dijalankan juga lebih fun dan tidaklah serius sangat macam yang anda bayangkan.                                                               (gambar diambil dari laman twitter Rabak-lit)

 

Antara event puisi yang ada ialah seperti Puiteaka, Eksotikata dan lain-lain. Cara penyampaian puisi di dalam event yang disebutkan tadi juga agak berbeza daripada gaya konvensional seperti menggabungkan muzik dan lakonan.

Jadi, tips sudah diberi. Apa lagi, capai topi penyajak dan selami dunia puisi!

 

 

Did you find apk for android? You can find new Free Android Games and apps.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *