Penyanyi muda berbakat, Sarah Suhairi, 24, kini gembira melayari bahtera perkahwinan bersama seorang pensyarah, Aswad Anuar, 39, dan sedia memikul tanggungjawab sebagai ibu kepada tiga anak tirinya.
Sarah dengan hati terbuka menerima status Aswad sebagai duda dengan tiga anak ketika mereka bertemu. "Ketika kami bertemu, Aswad sudah setahun menjadi bapa tunggal dan kami tak pernah letak sebarang status dalam empat tahun perkenalan kami. Tapi saya dah jumpa anak-anak perempuannya yang menerima kehadiran saya dalam hidup mereka. Malah, kawan-kawan rapat saya pun dah jumpa anak-anak Aswad,” kata Sarah.
Setelah majlis pernikahan yang berlangsung di Berern Hill, Hulu Langat, Sarah berkongsi cerita bagaimana mereka berkenalan di Pusat Ekuin Bukit Kiara kerana minat bersama dalam sukan ekuestrian. "Aswad bukan saja pensyarah, tapi juga jurulatih ekuestrian dan sering jadi juri. Saya pula aktif dalam sukan ini sejak umur 14 tahun. Dari situ, perkenalan kami bermula. Dalam empat tahun berkawan, bukan rahsia sebab Aswad sering temankan saya ke acara tertentu. Cuma, kami lebih selesa tak tonjolkan hubungan kami selagi tiada ikatan sah,” katanya.
Sarah dan Aswad sah bergelar suami isteri dalam satu majlis perkahwinan yang diadakan pagi tadi. Sebelum ini, Sarah tak pernah mendedahkan hubungan istimewa mereka kepada umum dan bertunang pada 27 Januari lalu. Aswad pernah berkahwin pada 2008 tapi bercerai pada 2019.
Kami ucapkan tahniah kepada Sarah dan Aswad! Semoga bahagia dan berkekalan hingga ke akhir hayat.