Ganjil menang empat kategori di Asian Academy Creative Awards

Drama bersiri Ganjil terbitan Razor's Edge Pictures melakar sejarah apabila memenangi empat kategori peringkat National Winner pada Asian Academy Creative Awards (AACA) 2022.



Ganjil arahan Datuk Yusry Abd Halim memenangi dua kategori utama iaitu Drama Bersiri Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Drama yang disiarkan di saluran penstriman Viu, September tahun lalu itu turut meraih trofi Sinematografi Terbaik dan Kesan Khas Visual Terbaik.

Drama bersiri, Ganjil arahan Datuk Yusry Abd Halim menang empat kategori di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2022.

Dengan kemenangan itu, Ganjil akan bersaing dengan drama bersiri terbitan 14 negara Asia Pasifik bagi merebut trofi Drama Bersiri Terbaik pada Malam Gala AACA 2022 di Singapura, pada 5 Disember depan.

Mengulas kejayaan itu, Penerbit Eksekutif, Datuk Saniboey Mohd Ismail bangga apabila drama yang dihasilkan dengan pelbagai kekangan itu mendapat pengiktirafan terbesar di pentas antarabangsa.

"Sepatutnya, penggambaran drama ini mengambil masa 40 hari sahaja. Namun, berlanjutan berbulan-bulan lamanya.

"Keadaan ini berlaku berikutan proses pembikinan tertangguh tiga kali akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Selain itu, kos pembikinan rendah juga menjadi antara cabaran yang perlu kita hadapi sedangkan kita tahu, kebanyakan negara pesaing mengeluarkan bajet cukup besar untuk produk mereka.

"Biarpun berdepan kekurangan, namun, saya bangga kerana Ganjil mampu bersaing dengan drama bajet besar.

"Ganjil juga menjadi satu-satunya drama dari Malaysia yang mendapat empat pencalonan dan memenangi semua kategori," katanya kepada BH Online.
Post a Comment (0)
Previous Post Next Post