Seorang jejaka dan gadis bertemu lalu jatuh cinta dan seperti kebiasaan setiap percintaan pasti menemui halangan-halangan yang ingin memisahkan dua hati yang terpaut. Bunyinya agak cliche tetapi itulah premis filem Pekak ini. Apa yang membezakan Pekak dengan filem-filem cinta yang lain ialah latar kehidupan watak-watak utama dan halangan yang dihadapi oleh watak Uda dan Dara. Filem ini bagaikan kanta buat masyarakat menyaksikan realiti kehidupan sekumpulan remaja masa kini. Riuh, ghairah dan dosa dalam warna kehidupan remaja ditonjolkan dengan begitu menyenangkan dalam karya debut Khairul Azri ini.

Filem ini mengisahkan seorang remaja pekak bernama Uda (Zahiril Adzim) yang bekerja sebagai pusher dadah untuk mengumpulkan wang sebanyak RM 60,000 bagi menampung pembedahan telinganya, jatuh hati dengan seorang gadis yang masih bersekolah bernama Dara (Sharifah Amani). Bibit-bibit manis antara Uda dan Dara membawa kita khayal dan merasakan betapa comelnya pasangan ini sehinggalah kita belajar bahawa watak Kamil (Iedil Putra) inginkan Dara dibantu oleh kawan baik Dara sendiri, Melur (Sharifah Sakinah) dan teman lelakinya Azman Picasso (Amerul Affendi).

Untuk mengatakan filem ini penuh kejutan, tidak juga. Namun tidak adil juga untuk mengatakan filem ini tiada kejutan lansung. Kebanyakan babak-babak dalam filem ini agak boleh dijangka namun mungkin elemen penantian dan kejutan bukanlah permainan yang ingin disampaikan pengarah. Apa yang saya paling suka ialah cara pengarah membawa kita dalam satu pengembaraan dalam bandaraya Kuala Lumpur yang sedikit berbeza dengan tipikal filem melayu sebelum ini. Sewaktu menonton filem ini juga ada ketika kita mungkin akan menyebelahi watak jahat kerana watak yang dimainkan Sharifah Sakinah dan Amerul Affendi begitu menghiburkan.

pekak2

Niat tidak menghalalkan cara. Itu mesej utama disebalik filem Pekak ini. Walaupun niat Uda mengumpul duit adalah untuk membiayai pembedahan telinganya, namun cara dia mendapatkan duit mungkin akan memberikan impak negatif dalam konklusi kisahnya. Lakonan Zahiril Adzim dalam filem ini sangat luar biasa. Malah saya akan terkejut jika beliau tidak tercalon dalam FFM tahun depan. Akhirnya ada naskah yang menonjolkan bakat Zahiril Adzim semaksima ini. Setiap ekspresi yang ditampilkan Zahiril sangat kena tanpa berlebihan. Sharifah Amani pula seperti biasa tidak pernah mengecewakan namun watak sebegini bagaikan makanan buat Nani. Namun watak Dara mungkin tidak menjadi secomel dan sebagus ini di tangan pelakon lain (kecuali Nadiya Nisaa). Saya ulang sekali lagi, filem ini menghiburkan kerana watak yang dijayakan Sakinah dan Amerul. Banyak momen-momen jenaka dan seronok ditampilkan watak-watak ini sebenarnya.

Jadi tunggu apa lagi? Jom kita beri sokongan kepada filem tempatan yang cukup baik ini. Khairul Azri, sebagai generasi pembikin filem baru pada saya telah melahirkan sesuatu yang segar dan menghiburkan tanpa mengambil mudah nilai seni visual dan naskah penuh teladan buat masyarakat.

4/5 ****